Ulama'

04 Disember 2009

Assalamualaikum,
Salam sayang,
Salam perjuangan

Daripada ‘Abdullah bin ‘Amru bin al-‘Ass radiallahu anhuma berkata, “Aku mendengar Rasulullah saw bersabda: “Bahawasanya Allah SWT tidak mencabut (menghilangkan) akan ‘ilmu itu sekaligus dari (dada) manusia, tetapi Allah SWT menghilangkan ‘ilmu itu dengan mematikan ‘alim ‘ulama’, maka apabila sudah ditiadakan ‘alim ‘ulama’, orang ramai akan memilih orang-orang yang jahil sebagai pemimpin mereka. Maka apabila pemimpin jahil itu ditanya, mereka akan berfatwa tanpa ‘ilmu pengetahuan. Maka mereka sesat dan menyesatkan orang lain.”(Hadith riwayat Imam Muslim)


23 November 2009 seorang lagi ulama' kabir iaitu Syeikh Abu Bakar Awang Al-Baghdadi, Penasihat Pesatuan Ulama' Kedah telah pergi meninggalkan kita semua.


Al-Marhum Syeikh Abu Bakar,84, semasa hayatnya bersama Al-Marhum Syeikh Niamat Yusoff mengasaskan Maahad Tarbiyah Islamiah Derang (MTID) seawal 1980. Beliau menjadi Syeikhul Perkampungan Maahad Derang sehingga akhir hayatnya.



Beliau sebelumnya belajar di sebuah Universiti di Baghdad, Iraq. Dan kepulangannya dari Iraq terus berkhidmat di dalam PAS iaitu diamanahkan menjadi calon PAS dan bertanding dua kali di Dun Kayang, Perlis.



Banyak lagi kisah pejalanan hidupnya, tidak ternukil panjangnya. Cuma, ingatilah sahabat sekalian. Dunia akhir zaman sudah ditunjukkan petandanya. Seperti disebut di dalam hadis Nabi s.a.w : " Bahawasanya Allah s.w.t tidak menghilangkan ilmu itu dengan sekaligus dari dada manusia. Tetapi Allah s.w.t menghilangkan ilmu itu dengan mematikan Ulama'".


Satu demi satu pergi meninggalkan kita. Kalau peribahasa Melayu mengatakan, “patah tumbuh, hilang berganti”, peribahasa ini tidak tepat berlaku kepada alim ulama. Mereka patah payah tumbuh dan hilang payah berganti. Sampailah suatu saat nanti permukaan bumi ini akan kosong dari ulama. Maka pada masa itu sudah tidak bererti lagi kehidupan di dunia ini. Alam penuh dengan kesesatan. Manusia telah kehilangan nilai dan pegangan hidup. Sebenarnya alim ulamalah yang memberikan makna dan erti kepada kehidupan manusia di permukaan bumi ini. Maka apabila telah pupus alim ulama, hilanglah segala sesuatu yang bernilai.

Di akhir-akhir ini, kita telah melihat gejala-gejala yang menunjukkan hampirnya zaman yang dinyatakan oleh Rasulullah saw tadi. Di mana bilangan alim ulama hanya tinggal sedikit dan usaha untuk menghasilkannya pula tidak mendapat perhatian yang sewajarnya. Pondok-pondok dan sekolah-sekolah agama kurang mendapat perhatian daripada cerdik pandai. Mereka banyak mengutamakan pengajian-pengajian di bidang urusan keduniaan yang dapat meraih keuntungan harta benda dunia. Inilah keadaan masyarakat kita di hari ini. Oleh itu, perlulah kita memikirkan hal ini dan mencari jalan untuk menyelesaikannya.

0 komentar:

Ayat Al Quran

Al Quran

  © Free Blogger Templates Nightingale by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP